Friday, 16 November 2012

Hadis MAUDUK & Hadis DAIF

Taarif

Hadis mauduk (palsu) ialah apa yang terdapat dalil yang membatalkan bahawa ia adalah bukan sunnah dan ia juga ditolak oleh perawi-perawi yang thiqah, dan juga yang menafikan sandarannya kepada Rasulullah SAW.
   Hadis daif (lemah) pula ialah hadis yang tidak diketahui periwayat ataupun periwayatnya tidak bersifat seperti periwayat hadis sahih atau hasan.

Kesalahan yang Berleluasa: Terburu-buru Menghukum Hadis

Kemungkinan seseorang yang membaca sebuah hadis, lalu mendapati sanad hadis tersebut terputus atau di kalangan perawi hadis itu daif, maka dia pun terus menghukum hadis tersebut daif hanya melihat kepada daif yang berlaku pada sanad. Padahal, perkara itu tidak semestinya daif kerana:
  • Ada kalanya sanadnya daif tetapi matan hadis itu masih kuat. Contohnya, apabila matan hadis dikuatkan dengan hadis yang lain yang dinamakan oleh ulama hadis sebagai 'syahid' atau 'mutaba'ah', maka hadis itu boleh diamalkan kerana ia manjadi kukuh.
  • Ada kalanya hadis itu sanadnya kuat tetapi matannya lemah. Contohnya, sanadnya bersambung dan para perawinya dipercayai tetapi dalam matannya wujud percanggahan.
  • Ada kalanya sanad dan matannya daif.
Apabila didapati hadis mempunyai sanad yang banyak, yang berlainan dan setiap sanadnya tidak terlepas daripada daif maka tidak semestinya juga hadis itu dikira daif  kerana sanad yang banyak dapat menaikkan taraf hadis itu kepada martabat hasan li ghairihi.

   Oleh itu, jangan terburu-buru menghukum sesuatu hadis sebagai daif melainkan selepas dikaji dan diteliti iaitu setelah didapati ia tidak mempunyai 'mutaba'ah' dan 'syahid' kerana daif yang berlaku pada sanad tidak bermakna hadis menjadi daif secara keseluruhan.

Bagaimana Berinteraksi dengan Hadis Daif?

  • Cara Imam al-Nawawi
Al-Imam al-Nawawi berkata:
"Para ulama daripada kalangan ahli Hadis, ahli Fiqh dan selainnya berkata: Dibenarkan dan disukai beramal dengan hadis daif dalam hal-hal fadha'il (fadhilat) serta targhib (galakan) dan tarhib (ancaman), selama hadis itu tidak berstatus maudhu' (palsu)."
Fadha'il bermaksud hadis-hadis yang menyatakan kelebihan beramal. Targhib ialah hadis yang mengandung galakan untuk berbuat baik. Dan tarhib pula adalah yang mengandungi ancaman bagi mereka yang berbuat jahat dan maksiat. 
Berdasarkan pendapat al-Nawawi, dapat kita simpulkan bahawa beramal dengan hadis daif dibolehkan dengan syarat-syarat berikut:
1. Dalam hal-hal fadha'il, targhib dan tarhib (kelebihan, galakan dan ancaman). Namun, hadis daif tidak boleh digunakan sebagai hujah hukum.
2.  Kedaifan hadis itu tidak sampai ke tahap maudhu'. Catatan kaki dalam al-Azkar ada menyebutkan: "Perkataan al-Nawawi: (Selama hadis itu tidak berstatus maudhu') Termasuk hadis yang terlalu daif. Maka tidak boleh beramal dengan hadis yang dalamnya terdapat perawi yang pendusta atau tertuduh dusta."
3.  Sesuatu amalan itu perlu mempunyai syahid (saksi) yang lain (ada dasarnya daripada nash lain yang sahih) seperti ia berada di bawah suatu nash yang umum atau di bawah satu kaedah umum. Ketika beramal dengan hadis ini perlu tidak diiktikadkan (diyakini) bahawa ia sabit (daripada Rasulullah SAW). Malah, hendaklah diiktikadkan sebagai ihtiati (langkah berjaga-jaga iaitu takut jika tidak beramal maka akan rugi daripada mendapat kelebihannya) sahaja.'

  • Cara Syeikh Yusuf al-Qaradhawi 
Syeikh Yusuf al-Qaradhawi menghuraikan berkenaan masalah ini secara panjang lebar di dalam bukunya: Kaifa Nata'amalu Maas Sunnah.
Antaranya, beliau menyebutkan,'...Al-Hafiz Ibnu Hajar menetapkan tiga pensyaratan untuk dapat diterimanya periwayatan yang lemah (daif) dalam hadis-hadis raqa'iq dan targhib. Ketiga syarat itu disebutkan oleh al-Hafiz al-Sayuthi dalam Tadribur Rawi sebagai berikut:
Pertama: (syarat ini disepakati oleh para ahli): Kelemahan tersebut tidak keterlaluan. Kerana itu,  harus ditolak periwayatan tunggal daripada orang yang memang dikenal sebagai pembohong, atau yang dicurigai sebagai pembohong, ataupun yang dikenal hafalannya sangat tidak tepat.
Kedua: Makna hadis tersebut masih dapat digolongkan dalam suatu tema dasar umum yang diakui. Maka harus ditolak setiap hadis yang hanya dikarang begitu sahaja, dan tidak ada asalnya sama sekali.
Ketiga: Pada saat penerapannya, hendaknya tidak dipercayai sebagai hadis yang tidak diragukan asalnya daripada Nabi SAW. Agar tidak terjadi pernisbahan suatu ucapan kepada baginda, sedangkan baginda tidak mengucapkannya. Jadi, hendaknya hadis tersebut dipercayai dengan sikap ihtiyath (berhati-hati kerana takut hadis itu sahih pada realitinya). 

Lumrah Perbezaan Pendapat dalam Menerima Hadis

  • Syarat penerimaan hadis 
Ulama selalunya berbeza dalam menerima hadis dan tidak sependapat dalam syarat-syarat penerimaan hadis. Ada antara mereka yang bersikap ketat lalu menolak hadis yang tidak memenuhi syarat penerimaannya, sedangkan hadis-hadis yang ditolak itu dapat diterima oleh sebahagian ulama lain yang bersikap sederhana.
Misalnya perbezaan syarat penerimaan hadis-hadis yang diletakkan oleh Al-Bukhari dan Muslim, yang mana Al-Bukhari meletakkan syarat berjumpa  dan sezaman dengan perawi dalam penerimaan hadis, sedangkan Muslim agak longgar dengan meletakkan syarat berjumpa atau sezaman dengannya walaupun tidak berjumpa antara keduanya.

  • Beramal dengan Hadis Mursal (Sanad tidak bersambung) 
 Hadis mursal dikategorikan sebagai hadis daif kerana sanadnya tidak bersambung. Menurut majoriti ulama hadis, ia adalah perkataan tabiin yang mengatakan baginda berkata dengan hadis tersebut, ataupun hadis yang diangkat atau disandarkan kepada baginda daripada perkataan, perbuatan dan perakuannya, tanpa mengira sama ada yang melakukan demikian adalah kalangan tabiin kecil ataupun besar.
Para fuqaha' berselisihan dalam beramal dengan hadis ini. Sebahagian menerimanya sebagai hujah sementara sebahagian yang lain menolak untuk beramal dengannya
Abu Hanifah, Malik dan Ahmad, beramal dengan hadis mursal yang berada dalam tiga kurun pertama hijrah kerana mengabaikan beramal dengannya dianggap meninggalkan sebahagian daripada sunnah dan mengabaikan perawi yang tidak diketahui berkemungkinan dia seorang yang adil dan thiqah (dipercayai). Manakala jumhur ahli hadis, Imam al-Syafie, majoriti fuqaha' dan ahli usul tidak mengambil hadis mursal sama sekali disebabkan periwayatan yang tidak diketahui perawinya.
Dipetik dari :Sebarkan Cinta-Mu 


No comments:

Post a Comment